17 February 2012

Sekadar Sebuah Lagu

Lamanya tak update blog! Maafkan saya.

Kali ni saya sekadar nak letak sebuah lagu. Lagu yang saya kenal dari filem Korea, Sunny. Sebuah filem yang mampu membuatkan air mata saya dan roomate bergenang. :P

25 September 2011

Kerana Cinta Seorang Murabbi


Ini hadiah istimewa yang saya dapat dari Dr. Ramizah bt. Wan Muhammad kerana menjadi follower blog beliau yang ke-100 dua tiga bulan lepas. Sebelum ini saya cuma mengikuti My Life My Love secara manual, bukan melalui bloglist dalam blogspot. Ditakdirkan Allah pada hari saya menziarahi blog beliau, saya terlihat bilangan 'follower'nya sudah mencecah 99 orang.

Cantik juga kalau dicukupkan jadi seratus, bisik hati saya.

Tidak lama selepas itu, ustazah menghantar mesej kepada saya melalui Facebook. Katanya ada hadiah untuk follower ke seratus kerana beliau memang telah pasang niat dari dulu.

Wahh... Alhamdulillah.

Bukanlah mengharapkan hadiah sangat. Tapi lebih kepada teruja dan terharu kerana menerima penghargaan dari beliau.

Saya mula mengenali Ustazah Ramizah melalui blog. Saya sangat tertarik dengan sifat penyayang dan caring beliau terhadap anak murid. Kebetulan pula tarikh lahir kami juga sama, cuma tahunnya sahaja yang jauh berbeza. :P

Lalu ukhuwwah kami berlanjutan ke alam realiti.

Setiap kali saya berjumpa Ustazah Ramizah di pejabatnya, saya rasa gembira. Senyuman ikhlas sudah sedia menanti. Banyak cerita yang dikongsi. Seloka ringan sentiasa menghiasi.

Itulah Ustazah Ramizah yang saya kenali.


Semasa menghadiri konferens di UK, beliau sempat membelikan cap ini untuk saya. Walaupun saya bukan peminat Chelsea, tapi pemberian ini sangat bermakna. Tanda ingatan dari insan yang saya anggap sebagai 'ibu' kepada 'anaknya'.

Ustazah Ramizah adalah pensyarah di Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws. Saya pula pelajar dari Department of Arabic Language and Literature. Tapi kasih beliau melangkaui sempadan kuliyyah, latar belakang dan daerah.

Semoga Ustazah dan keluarga sentiasa dinaungi rahmah, dilimpahi barakah, dan dianugerahkan kekuatan dalam jihad mendidik ummah.

Kerana cinta dari seorang murabbi, membawa insan mengenal apa itu erti cinta kepada Rabbul 'Izzati.


16 September 2011

Coretan Semester 1, 2011/2012

UIAM

Seperti biasa, pada awal semester saya sentiasa dihantui masalah yang sama. Tidak dapat add subject kerana ada yuran tertunggak. Beginilah nasib pelajar self-sponsored seperti saya. Tiada duit PTPTN atau biasiswa. 

Di kala orang lain lenggang kangkung kerana telah selesai add subject semasa pre-registration, saya terkulat-kulat mencari subjek yang masih dibuka ketika tempoh add/drop hampir tamat.

Mujurlah sudah di tahun akhir, tidak perlu berebut sangat. 

Saya cuba menyusun jadual kelas bermula dari pagi sehingga pukul 3.30 petang. Pukul 3.45 saya perlu bergegas ke SRI Al-Amin untuk mengajar. 

Tapi saya hanya mampu merancang. 

Ada subjek yang terpaksa saya ambil bermula pada jam lima, gara-gara subjek pada waktu tengah hari telah ditutup. Jadi mulai minggu depan saya hanya akan mengajar dari pukul 3.45 hingga 5 petang. Selepas itu terus kembali ke UIA.

Ironinya, subjek pukul 5 itu adalah Tarikh Nahw Arab (Sejarah Tatabahasa Arab). 

Aduhai... Janganlah otak ini terbang ke gelanggang futsal. Ini kali pertama saya ada kelas pada waktu sepatutnya saya sedang enak menyepak bola!


TERKILAN

Assoc. Prof. Dr. Abd Razzak As-Sa'adi

Selepas ini UIA akan kehilangan beliau. Ulama dari Iraq, pakar dalam bidang Fiqh dan Bahasa Arab. Saya agak terkilan kerana tidak sempat belajar Fiqh Lughah dengan Ustaz Razzak. Sangat terkilan sebenarnya. Dengar cerita ada sedikit 'konflik' dengan UIA, dan beliau ingin membawa diri pulang ke Jordan.

Entahlah. Allahu A'lam.

Saya pasti akan merindui lahjah (accent) Arab beliau. Merindui khutbah Jumaat beliau. :(

p/s: Akhirnya update blog, lepas asyik kena perli dengan Kak Anum. :P


30 August 2011

Salam Aidilfitri 1432H

Devian Art
Saya dengan penuh rendah hati ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua muslimin dan muslimat, terutama sekali yang sentiasa menziarahi Tinta Hikmah ini.

Sayang anda ketat-ketat. (Eheh, ayat geli-geli)

Semoga dengan berakhirnya Ramadhan, disusuli ketibaan Syawal dan bulan-bulan yang seterusnya menambahkan lagi taqarrub kita kepada Allah SWT.

Maaf andai ada kata-kata mahupun entri di blog ini mengguris hati mana-mana pihak. Sesungguhnya saya cumalah insan biasa yang ingin menghulurkan tangan persaudaraan kepada anda semua.


تقبل الله منا ومنكم صالح الاعمال

Maaf Zahir dan Batin

:)

p/s: Jemput datang ke rumah saya. Insha-Allah ada la sedikit nasi impit, ketupat, kuih muih, roti jala dan... duit raya! Hehe :P


28 August 2011

Kembara Akhir Ramadhan


Esok hari terakhir Ramadhan. Entah dapat atau tidak kita bertemu Ramadhan akan datang. Bulan yang di dalamnya sebuah malam dengan ganjaran seribu bulan.

Bukan senang hendak menggapai malam itu.

Juga bukan senang hendak meneruskan momentum terbaik yang dilazimi sepanjang Ramadhan ini, serta istiqamah pada jalan menjadi insan yang diredhai.

Semoga tarbiah Ramadhan selama sebulan menjadi pemacu diri dalam mengekang gelojak nafsu duniawi.

Semoga tarbiah Ramadhan ini hasilnya kekal membekas dalam hati, terus memandu jiwa menjadi insan yang benar-benar bertuhankan Rabbul Izzati.


 اللهم يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك

واعنا على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك

Wahai Tuhan Kami, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.

Dan bantulah kami dalam terus mengingati-Mu, mensyukuri nikmat-Mu dan memperelok ibadat kami kepada-Mu.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...